Pembentukan azam: Menurut Syariat
Mengharungi dunia perniagaan memang susah, tambahan pula bagi mereka yang tidak berpengalaman atau betul-betul bersedia menghadapi cabaran yang akan mendatang. Seringkali ujian-ujian yang dihadapi ini tidak dapat diterima oleh para usahawan muda. Ramai yang jatuh tersungkur, lalu tidak mempunyai kekuatan bangun kembali.
Dalam situasi ini azam memainkan peranan yang penting. Mereka yang benar-benar berazam akan cuba bangkit kembali dengan sedaya upaya, manakala yang lemah terus membiarkan diri mereka bergelumang dalam kekalahan.
Soalnya sekarang dari mana golongan pertama yang disebut di atas mendapat keazaman yang begitu kukuh? Jawapannya mudah. Melalui pembentukan disiplin yang mantap.
Islam, dalam ajarannya yang menyeimbangkan hal-hal dunia dan akhirat mengajar kita membentuk disiplin dengan ketara sekali. Menunaikan solat adalah satu daripada pengajaran yang dimaksudkan ini. Melalui solat, seseorang itu dapat melatih dirinya mencapai target yang ditetapkan (solat 5 kali sehari). Ini secara tidak langsung melatih diri supaya tidak menjadi malas dan tabah menghadapi ujian dalam mengerjakan ibadah tersebut.
Banyak lagi contoh yang dapat kita ekstrak daripada ajaran Islam untuk dianalisis sebagai elemen pembentuk disiplin. Contoh kedua yang sempat dikupas ialah melalui berpuasa. Disiplin mematuhi sesebuah syarat atau undang-undang dapat dididik melalui ibadah ini. Dan melalui ibadah ini juga umat Islam dilatih menjadi tidak mudah mengalah serta menumpukan keazaman yang penuh dalam melengkapkan tempoh puasa tersebut.
Tidak disangkal lagi bahawa aktiviti-aktiviti yang mendidik disiplin mencetus kepada personaliti berkeazaman tinggi. Ini kerana minda manusia mudah terleka dalam mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu disiplinlah yang menjadi daya penolak serta petunjuk kearah pencapaian matlamat tersebut. Melalui penghayatan disiplin yang baik, lahirlah keazaman yang tinggi seterusnya perlaksanaan oleh anggota fizikal.
Keazaman yang kukuh sangat berguna dalam situasi-situasi yang menekan. Ia dapat menggerakkan seseorang daripada terus gagal, dan juga mempengaruhi seorang usahawan daripada mengalah terus sekiranya dia jatuh tersungkur.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini amatlah mudah. Kita hanya perlu berusaha lebih sedikit dalam menghayati ajaran-ajaran murni dalam agama Islam dalam penghayatan disiplin. Mungkin sesuatu pekerjaan itu dianggap remeh, tapi sekiranya pemikiran yang baik digerakkan sama dalam melakukan usaha tersebut, ia mampu memberi impak kepada aspek-aspek lain dalam kehidupan.
Wallahualam, assalamualaikum.
Digital Signature: Promosi berkesan atau tidak?
Apa itu digital signature?
Digital signature boleh digambarkan sebagai 'kepilan' atau tambahan kepada sesebuah post. Secara umumnya, signature ini dapat menarik ramai pelanggan, dan dalam masa yang sama mudah dibuat. Contoh visual yang boleh saya paparkan adalah seperti di bawah (Klik gambar di bawah untuk imej lebih jelas):

Ia boleh diaplikasikan di dalam email atau post di dalam forum. Malah, jika anda mampu meletakkan signature visual (gambar, logo atau flash), kredibiliti anda akan lebih terserlah. Secara psikologinya, digital signature ini memberikan lebih keyakinan terhadap para pelanggan tentang kebolehan anda.
Tambahan pula ia menyediakan sebuah ruangan percuma untuk anda mempromosikan produk. Dengan setiap email atau post yang anda publish, signature ini akan mengiklankan produk anda.
Bayangkan, sekiranya anda hantar 100 email atau post, 100 mesej pengiklanan akan ikut sama. Tak salah mencuba bukan?
Jika anda menggunakan SquirrelMail, klik 'option', kemudian 'personal information'. Bagi mereka yang menggunakan Yahoo Mail, buka ruang 'option' seterusnya 'signature'. Kemudian tulislah tentang iklan anda. Selamat mencuba!
Wallahualam, assalamualaikum
Ketawalah, tapi sampai bila?
Soalan balas saya terhadap kata-kata peluntur ini mudah saja. "Sampai bila kamu boleh ketawa?"
Memang benar, seorang usahawan baru cenderung melakukan sedikit kesilapan. Namun manusia tetap manusia. Atas hak apa orang lain dibenarkan mentertawakan orang yang berusaha? Apa baik sangatkah orang yang tertawa itu?
Jika kita saksikan, memang ramai usahawan yang telah berjaya mengatasi stereotaip ini, sekaligus membuktikan pihak lain tuduhan mereka salah. Tapi pernahkan pihak yang mengutuk itu mengambil pengajaran? Sebahagian ya, sebahagian tidak.
Tidakkah mereka sedar, golongan yang mereka cerca itu sedang mencari rezeki yang halal, dan bukannya mahu menjatuhkan orang lain seperti mereka sendiri? Lambat laun terbukti jua pihak mana yang lebih baik.
Jadi rakan-rakan seperjuangan, abaikan saja kata-kata kosong itu. Tak guna anda melayan. Banyak lagi urusan yang perlu anda fokus. Bahkan, cuba anggap kata-kata kutukan tersebut cabaran terhadap anda, dan buktikan yang mereka salah.
Rasulullah bersabda,
"Lebih baik seorang yang membawa tali, lalu memikul seberkas kayu api, dan menjualnya, lalu dia memperoleh nafkah daripada usahanya dan tidak lagi memerlukan bantuan orang lain daripada dia meminta-minta daripada orang, sama ada orang tersebut memberikannya atau tidak. Kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulakan (sedekah) dengan orang yang bawah tanggunganmu."
(Sahih Muslim)
Mencari nafkah sendiri adalah apa yang kita lakukan, tiada salahnya selagi kita ikuti syarak. Buat apa kita takut dengan apa orang kata, sedangkan rasulullah sendiri mengatakannya baik? Biasalah kalau kena cerca, barulah namanya usahawan.
Post ini bukannya apa, sekadar peringatan untuk saya dan anda dalam usaha mengharungi dunia keusahawanan ini. Jangan putus asa ya!
Wallahualam, assalamualaikum.
Mungkin post ini agak terlewat...
Ya, seperti tajuk yang saya letakkan, mungkin post ini agak terlewat sedikit. Sebenarnya telah saya tuliskan post ini 3 minggu lalu, namun sedikit masalah teknikal, baru sekaranglah mampu saya letakkannya kembali. Tak mengapalah, yang penting ialah isinya masih mampu digunakan. Itulah ‘argument’ saya.
Salam I’dul Adha buat para usahawan.
Seperti tahun-tahun yang lalu, I’dul Adha menjelma lagi. Hari mulia ini menceritakan kejayaan seorang hamba Allah yang berjaya menjalankan suruhanNya dengan baik sekali. Hari ini juga memupuk semangat kerjasama dan sikap bersedekah di kalangan umat Islam. Hari ini juga melambangkan limpahan kurnia rezeki oleh Tuhan yang Maha Kaya terhadap hamba-hambanya di muka bumi ini. Alhamdulillah.
Seharusnya, para usahawan wajar mengambil iktibar dan manfaat yang dibawa oleh I’dul Adha itu sendiri. Dalam konteks perniagaan, sikap kerjasama yang
Harus juga kita mengambil point penting daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Point yang saya maksudkan ialah dedikasi dan semangat menjalankan sesuatu tugas, biarpun dilanda ujian dan sedikit kesukaran. Hasilnya, lihatlah. Nabi Ibrahim a.s dikurniakan ganjaran yang baik oleh Allah s.w.t. Ini jelas mengajar kita agar menumpukan sepenuhnya fokus dalam usaha yang kita lakukan, agar kita dibalas dengan ganjaran yang berkat. InshaAllah..
Malah, Allah juga membuka peluang bagi golongan pencari rezeki melalui ibadah korban itu sendiri. Secara logiknya, anda pasti tahu permintaan bagi haiwan sembelihan sempena musim korban akan meningkat, bukan? Bagi mereka yang mempunyai ‘instinct’ keusahawanan yang tinggi, ini pastinya satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Kenapa? Biar saya terangkan secara ringkas, ya.
Kalau anda lebih ‘keen’ dalam memerhatikan keadaan, dapat anda perhatikan bahawa sampai saja musim ini, tak kira lembu itu kurus atau kecil pun, ia akan menjadi calon haiwan sembelihan. Nah, bukankah ini menunjukkan permintaan untuk haiwan sembelihan yang baik masih kurang diterokai di
Namun bagaimana sekalipun kita berusaha, kita wajib mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa, agar ia tidak memakan diri. Lihat saja mereka yang ambil jalan salah. Berapa lama keberkatan itu lekat dalam hidupnya? Berapa ramai yang mengedar dadah, tapi teman terakhirnya tali gantung? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.
Secara ringkasnya saya cuma ingin mengambil kesempatan berpesan-pesan, agar kita semua terselamat dan tergolong dalam golongan yang terpuji. Ingatlah, yang penting sekali ialah Allah, barulah diikuti urusan dunia. Sekadar berpesan sahaja, agar kita tergolong dalam golongan yang beruntung. Dunia dan Akhirat. InsyaAllah.
Wallahualam, assalamualaikum.
Mukaddimah si Kalam
Syukur dan puji terhadap Ilahi, kerana dengan kurniaanNya dapat saya mulakan laman blog ini. Jujur saya katakan, bukan mudah menjalankan sebuah blog, apatah lagi bagi tujuan membincangkan hal-hal perniagaan. Namun, nak mengalah kerana kesusahan sedikit, buat apa kan?
Jadi untuk tak membuang masa anda yang membaca dan saya yang menulis, baik kita terus ke isi yang ingin saya kongsikan
Berangan-angan memulakan perniagaan memang mudah. Tetapi yang menjadi sukar ialah menjayakan dan membawanya ke tahap optimisasi. Jika kita teliti dunia perniagaan sekarang, mudah kita dapati ramai yang terkandas, dan tak kurang juga ramai yang memacu perniagaan dengan kadar yang amat perlahan. Begitulah mencabarnya bidang perniagaan ini.
Namun begitu, adakah kita perlu gentar dengan situasi ini? Dalam buku 'Langkah Bijak Usahawan Terbilang' oleh Dato' Fadzilah Kamsah dan Haji Muhammad Zakaria menyatakan bahawa, beberapa sarjana ternama mentakrifkan erti usahawan. Antara yang saya rasakan relevan dalam konteks ini ialah seperti berikut.
"Seseorang yang kuat, yang didorong oleh semangat untuk bebas dan cemerlang dan tidak kenal menyerah kalah." (Collins & Moore - 1970)
Hal ini jelas mengingatkan kita bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang bukan hanya pada nama, kita haruslah kental semangat dan 'liat' untuk ditewaskan.
Ingin saya ekspresikan juga, ramai usahawan-usahawan zaman sekarang bertindak dalam perniagaan tanpa etika kejujuran. Perlu kita persoalkan, bukankah Allah telah berfirman dalam Al-Qur'an:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan perniagaan yang dilakukan suka sama suka antara kamu."
Surah al-Nisa': 29.
Terdesak sangatkah kita sampai perlu kita abaikan kejujuran? Adakah kita lupa bahawa Allah itu Maha Kaya, dan Maha pemberi rezeki? Habis tu, kenapa perlu hal ini terjadi?
Jangan risaulah, takkan habis rezeki Allah walau semua manusia di muka bumi ini jadi peniaga sekalipun. Malah kalau kita berniaga dengan kejujuran dan syariat yang ditetapkan, makin berkat jadinya rezeki kita.
Saya pun bukanlah warak sangat, tapi sekurang-kurangnya saya faham maksud ayat Allah dalam surah Al-Asr, yang secara lazimnya menyatakan manusia itu dalam kerugian kecuali yang berpesan-pesan kearah kebaikan. Dan selaku seorang usahawan, mengalami kerugian itu adalah sesuatu yang perlu kita elakkan, bukan?
Wallahualam, assalamualaikum.
