Pembentukan azam: Menurut Syariat

Bismillahirrahmanirrahim,

Mengharungi dunia perniagaan memang susah, tambahan pula bagi mereka yang tidak berpengalaman atau betul-betul bersedia menghadapi cabaran yang akan mendatang. Seringkali ujian-ujian yang dihadapi ini tidak dapat diterima oleh para usahawan muda. Ramai yang jatuh tersungkur, lalu tidak mempunyai kekuatan bangun kembali.

Dalam situasi ini azam memainkan peranan yang penting. Mereka yang benar-benar berazam akan cuba bangkit kembali dengan sedaya upaya, manakala yang lemah terus membiarkan diri mereka bergelumang dalam kekalahan.

Soalnya sekarang dari mana golongan pertama yang disebut di atas mendapat keazaman yang begitu kukuh? Jawapannya mudah. Melalui pembentukan disiplin yang mantap.

Islam, dalam ajarannya yang menyeimbangkan hal-hal dunia dan akhirat mengajar kita membentuk disiplin dengan ketara sekali. Menunaikan solat adalah satu daripada pengajaran yang dimaksudkan ini. Melalui solat, seseorang itu dapat melatih dirinya mencapai target yang ditetapkan (solat 5 kali sehari). Ini secara tidak langsung melatih diri supaya tidak menjadi malas dan tabah menghadapi ujian dalam mengerjakan ibadah tersebut.

Banyak lagi contoh yang dapat kita ekstrak daripada ajaran Islam untuk dianalisis sebagai elemen pembentuk disiplin. Contoh kedua yang sempat dikupas ialah melalui berpuasa. Disiplin mematuhi sesebuah syarat atau undang-undang dapat dididik melalui ibadah ini. Dan melalui ibadah ini juga umat Islam dilatih menjadi tidak mudah mengalah serta menumpukan keazaman yang penuh dalam melengkapkan tempoh puasa tersebut.

Tidak disangkal lagi bahawa aktiviti-aktiviti yang mendidik disiplin mencetus kepada personaliti berkeazaman tinggi. Ini kerana minda manusia mudah terleka dalam mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu disiplinlah yang menjadi daya penolak serta petunjuk kearah pencapaian matlamat tersebut. Melalui penghayatan disiplin yang baik, lahirlah keazaman yang tinggi seterusnya perlaksanaan oleh anggota fizikal.

Keazaman yang kukuh sangat berguna dalam situasi-situasi yang menekan. Ia dapat menggerakkan seseorang daripada terus gagal, dan juga mempengaruhi seorang usahawan daripada mengalah terus sekiranya dia jatuh tersungkur.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini amatlah mudah. Kita hanya perlu berusaha lebih sedikit dalam menghayati ajaran-ajaran murni dalam agama Islam dalam penghayatan disiplin. Mungkin sesuatu pekerjaan itu dianggap remeh, tapi sekiranya pemikiran yang baik digerakkan sama dalam melakukan usaha tersebut, ia mampu memberi impak kepada aspek-aspek lain dalam kehidupan.

Wallahualam, assalamualaikum.

0 comments:

Post a Comment