Ya, seperti tajuk yang saya letakkan, mungkin post ini agak terlewat sedikit. Sebenarnya telah saya tuliskan post ini 3 minggu lalu, namun sedikit masalah teknikal, baru sekaranglah mampu saya letakkannya kembali. Tak mengapalah, yang penting ialah isinya masih mampu digunakan. Itulah ‘argument’ saya.
Salam I’dul Adha buat para usahawan.
Seperti tahun-tahun yang lalu, I’dul Adha menjelma lagi. Hari mulia ini menceritakan kejayaan seorang hamba Allah yang berjaya menjalankan suruhanNya dengan baik sekali. Hari ini juga memupuk semangat kerjasama dan sikap bersedekah di kalangan umat Islam. Hari ini juga melambangkan limpahan kurnia rezeki oleh Tuhan yang Maha Kaya terhadap hamba-hambanya di muka bumi ini. Alhamdulillah.
Seharusnya, para usahawan wajar mengambil iktibar dan manfaat yang dibawa oleh I’dul Adha itu sendiri. Dalam konteks perniagaan, sikap kerjasama yang cuba dipupuk oleh ibadah korban wajar diaplikasikan dalam usaha kita mencari pendapatan yang halal. Kita tidak seharusnya saling berusaha menjatuhkan satu sama lain, sebaliknya bersama-sama membantu rakan seperjuangan dalam bidang perniagaan ini.
Harus juga kita mengambil point penting daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Point yang saya maksudkan ialah dedikasi dan semangat menjalankan sesuatu tugas, biarpun dilanda ujian dan sedikit kesukaran. Hasilnya, lihatlah. Nabi Ibrahim a.s dikurniakan ganjaran yang baik oleh Allah s.w.t. Ini jelas mengajar kita agar menumpukan sepenuhnya fokus dalam usaha yang kita lakukan, agar kita dibalas dengan ganjaran yang berkat. InshaAllah..
Malah, Allah juga membuka peluang bagi golongan pencari rezeki melalui ibadah korban itu sendiri. Secara logiknya, anda pasti tahu permintaan bagi haiwan sembelihan sempena musim korban akan meningkat, bukan? Bagi mereka yang mempunyai ‘instinct’ keusahawanan yang tinggi, ini pastinya satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Kenapa? Biar saya terangkan secara ringkas, ya.
Kalau anda lebih ‘keen’ dalam memerhatikan keadaan, dapat anda perhatikan bahawa sampai saja musim ini, tak kira lembu itu kurus atau kecil pun, ia akan menjadi calon haiwan sembelihan. Nah, bukankah ini menunjukkan permintaan untuk haiwan sembelihan yang baik masih kurang diterokai di Malaysia? Saya hanya sekadar menunjukkan peluang, tapi mampukah kita merealisasikannya?
Namun bagaimana sekalipun kita berusaha, kita wajib mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa, agar ia tidak memakan diri. Lihat saja mereka yang ambil jalan salah. Berapa lama keberkatan itu lekat dalam hidupnya? Berapa ramai yang mengedar dadah, tapi teman terakhirnya tali gantung? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.
Secara ringkasnya saya cuma ingin mengambil kesempatan berpesan-pesan, agar kita semua terselamat dan tergolong dalam golongan yang terpuji. Ingatlah, yang penting sekali ialah Allah, barulah diikuti urusan dunia. Sekadar berpesan sahaja, agar kita tergolong dalam golongan yang beruntung. Dunia dan Akhirat. InsyaAllah.
Wallahualam, assalamualaikum.