Bismillahirrahmanirrahim
Syukur dan puji terhadap Ilahi, kerana dengan kurniaanNya dapat saya mulakan laman blog ini. Jujur saya katakan, bukan mudah menjalankan sebuah blog, apatah lagi bagi tujuan membincangkan hal-hal perniagaan. Namun, nak mengalah kerana kesusahan sedikit, buat apa kan?
Jadi untuk tak membuang masa anda yang membaca dan saya yang menulis, baik kita terus ke isi yang ingin saya kongsikan
Berangan-angan memulakan perniagaan memang mudah. Tetapi yang menjadi sukar ialah menjayakan dan membawanya ke tahap optimisasi. Jika kita teliti dunia perniagaan sekarang, mudah kita dapati ramai yang terkandas, dan tak kurang juga ramai yang memacu perniagaan dengan kadar yang amat perlahan. Begitulah mencabarnya bidang perniagaan ini.
Namun begitu, adakah kita perlu gentar dengan situasi ini? Dalam buku 'Langkah Bijak Usahawan Terbilang' oleh Dato' Fadzilah Kamsah dan Haji Muhammad Zakaria menyatakan bahawa, beberapa sarjana ternama mentakrifkan erti usahawan. Antara yang saya rasakan relevan dalam konteks ini ialah seperti berikut.
"Seseorang yang kuat, yang didorong oleh semangat untuk bebas dan cemerlang dan tidak kenal menyerah kalah." (Collins & Moore - 1970)
Hal ini jelas mengingatkan kita bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang bukan hanya pada nama, kita haruslah kental semangat dan 'liat' untuk ditewaskan.
Ingin saya ekspresikan juga, ramai usahawan-usahawan zaman sekarang bertindak dalam perniagaan tanpa etika kejujuran. Perlu kita persoalkan, bukankah Allah telah berfirman dalam Al-Qur'an:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan perniagaan yang dilakukan suka sama suka antara kamu."
Surah al-Nisa': 29.
Terdesak sangatkah kita sampai perlu kita abaikan kejujuran? Adakah kita lupa bahawa Allah itu Maha Kaya, dan Maha pemberi rezeki? Habis tu, kenapa perlu hal ini terjadi?
Jangan risaulah, takkan habis rezeki Allah walau semua manusia di muka bumi ini jadi peniaga sekalipun. Malah kalau kita berniaga dengan kejujuran dan syariat yang ditetapkan, makin berkat jadinya rezeki kita.
Saya pun bukanlah warak sangat, tapi sekurang-kurangnya saya faham maksud ayat Allah dalam surah Al-Asr, yang secara lazimnya menyatakan manusia itu dalam kerugian kecuali yang berpesan-pesan kearah kebaikan. Dan selaku seorang usahawan, mengalami kerugian itu adalah sesuatu yang perlu kita elakkan, bukan?
Wallahualam, assalamualaikum.

1 comments:
asalamualaikum, wah tak sangka saya bahawa saudara diah gemar menaip...tapi maaflah saya nak buat pembetulan sedikit, berkenaan surah al-asr.... kurang sesuai ayat tersebut di gunakan untuk situasi.
Post a Comment