Menyoroti perjalanan kerjaya setiap usahawan, hampir semua berhadapan dengan cerca dan kutukan bahawa mereka tidak akan berjaya, tak professional, kurang populariti dan banyak lagi. Ramai bertindak mengabaikan ugutan kosong ini, namun ramai juga yang terjejas usahanya.
Soalan balas saya terhadap kata-kata peluntur ini mudah saja. "Sampai bila kamu boleh ketawa?"
Memang benar, seorang usahawan baru cenderung melakukan sedikit kesilapan. Namun manusia tetap manusia. Atas hak apa orang lain dibenarkan mentertawakan orang yang berusaha? Apa baik sangatkah orang yang tertawa itu?
Jika kita saksikan, memang ramai usahawan yang telah berjaya mengatasi stereotaip ini, sekaligus membuktikan pihak lain tuduhan mereka salah. Tapi pernahkan pihak yang mengutuk itu mengambil pengajaran? Sebahagian ya, sebahagian tidak.
Tidakkah mereka sedar, golongan yang mereka cerca itu sedang mencari rezeki yang halal, dan bukannya mahu menjatuhkan orang lain seperti mereka sendiri? Lambat laun terbukti jua pihak mana yang lebih baik.
Jadi rakan-rakan seperjuangan, abaikan saja kata-kata kosong itu. Tak guna anda melayan. Banyak lagi urusan yang perlu anda fokus. Bahkan, cuba anggap kata-kata kutukan tersebut cabaran terhadap anda, dan buktikan yang mereka salah.
Rasulullah bersabda,
"Lebih baik seorang yang membawa tali, lalu memikul seberkas kayu api, dan menjualnya, lalu dia memperoleh nafkah daripada usahanya dan tidak lagi memerlukan bantuan orang lain daripada dia meminta-minta daripada orang, sama ada orang tersebut memberikannya atau tidak. Kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulakan (sedekah) dengan orang yang bawah tanggunganmu."
(Sahih Muslim)
Mencari nafkah sendiri adalah apa yang kita lakukan, tiada salahnya selagi kita ikuti syarak. Buat apa kita takut dengan apa orang kata, sedangkan rasulullah sendiri mengatakannya baik? Biasalah kalau kena cerca, barulah namanya usahawan.
Post ini bukannya apa, sekadar peringatan untuk saya dan anda dalam usaha mengharungi dunia keusahawanan ini. Jangan putus asa ya!
Wallahualam, assalamualaikum.

0 comments:
Post a Comment